Kerjasama GRS-PH Plus penting, perbincangan politik baharu disifatkan pra-matang – Nizam

KOTA KINABALU : Sebarang usaha membentuk kerjasama politik baharu tanpa melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus sebagai pra-matang serta tidak menghormati mandat rakyat serta kestabilan dicapai negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.

Katanya, kenyataan itu menekankan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah perlu difahami menerusi kerangka politik tempatan yang jauh berbeza daripada dinamika politik di peringkat Persekutuan.

“Sebagaimana dinyatakan Armizan, prinsip pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan kestabilan di peringkat pusat.

“Namun ia tidak mewajibkan formula politik seragam diterapkan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Sabah mempunyai keunikan politik tersendiri seperti juga Sarawak dan Johor, justeru sebarang pendekatan perlu mengambil kira realiti dan sensitiviti politik tempatan.

“Kerjasama GRS–PH Plus di Sabah yang dibentuk selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat telah terbukti membawa kestabilan pentadbiran dan manfaat ketara kepada rakyat.

“Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya menjadi bukti bahawa kerjasama tersebut telah melonjakkan pembangunan negeri dalam pelbagai sektor penting seperti pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital dan pengurusan sumber asli,” jelas Nizam.

Menurutnya, sebarang percubaan membentuk kerjasama politik baharu tanpa melalui GRS–PH Plus tidak mencerminkan semangat muafakat yang telah dipersetujui. Ia juga berisiko menjejaskan kestabilan yang telah dipupuk.

Beliau menegaskan sebarang perubahan politik harus dibincangkan secara inklusif, menghormati struktur sedia ada dan meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan PH Sabah yang terus komited menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, termasuk ketika negeri berdepan cabaran politik besar susulan perubahan di peringkat pusat.

“Ini membuktikan bahawa kerjasama yang diasaskan atas keikhlasan dan kepentingan rakyat mampu bertahan menghadapi cabaran,” tambahnya.

Nizam turut menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya konsisten memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menyifatkan pendekatan progresif Perdana Menteri dalam memperkasa Sabah sebagai sesuatu yang perlu dihargai dan diteruskan.

Sehubungan itu, katanya, GRS akan terus bersikap terbuka dan komited meneruskan kerjasama bersama PH Plus di Sabah demi kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.