SANDAKAN : Pemilik syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi diambil tindakan selepas gagal mematuhi arahan penetapan edaran serta agihan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram di daerah ini pada 25 April lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, semakan silang mendapati bekalan minyak masak paket bersubsidi 1 kg hanya diedarkan sebanyak 21 tan metrik daripada 34 tan metrik kelulusan yang dibenarkan.
Katanya, ketika semakan pengauditan pengedaran minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram dilakukan penguat kuasa KPDN Sandakan kebenaran hanya diberikan kepada premis syarikat pembungkus minyak masak yang berdaftar.
“Kebenaran itu diberikan kepada pemegang lesen runcit lesen barang kawalan termasuk pasar raya di sekitar daerah Sandakan.
“Pemeriksaan susulan di premis syarikat pembungkus minyak masak mendapati baki minyak masak paket bersubsidi 1kg sebanyak 13 tan metrik diedarkan ke premis perniagaan beralamat dalam surat arahan minyak.
“Tetapi ia telah telah di hantar ke tempat lain tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azdy berkata, pihaknya mengambil tindakan terhadap pemilik syarikat ini dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN Cawangan Sandakan menyita dokumen berkaitan termasuk invois serta resit jualan, buku stok serta lesen barang kawalan (CSA) untuk siasatan lanjut.
“Arahan penetapan edaran minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram oleh Pengawal Bekalan ini mula dilaksanakan sejak bulan Ogos tahun lalu,” jelas Azdy.
Menurutnya, dalam kelulusan terbabit KPDN menetapkan lokasi penghantaran minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram bagi setiap syarikat pembungkus minyak masak dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan serta ketirisan barang kawalan tersebut.
“KPDN akan akan sentiasa meningkatkan pemantauan terhadap pengedaran bekalan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram di Sandakan ini.
“Ini termasuk menjalankan pengauditan secara komprehensif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak terlibat dalam rantaian pembekalan serta pengedaran minyak masak paket bersubsidi 1 kiligram perlu lebih bertangunggjawab dalam memastikan subsidi sampai ke golongan sasar.
“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Dalam tempoh sama bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Pengguna boleh bertindak sebagai mata dan telinga kepada KPDN dengan menyalurkan aduan melalui saluran-saluran rasmi aduan Whatsapp 019 848 8000 dan Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my.
“Orang ramai juga menyalurkan maklumat melalui kaedah Call Centre 1 800 886 800 serta Emel: e aduan@kpdn.gov.my atau Aplikasi Ez ADU KPDN dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre): 03-8882 6088 / 6245 serta Surat Rasmi ke Pejabat KPDN berdekatan mereka,” tambahnya.