Kerja-kerja Projek Pembangunan Borneo Cement Sabah bermula awal September depan

KOTA KINABALU; Projek pembangunan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS) bakal mengubah landskap daerah Tongod akan memulakan kerja-kerja tanah dan pembersihan hutan bermula awal September depan.

Pengarah Urusannya, Micheal Kinsuan berkata, Pelan Penyediaan Tapak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, berkuatkuasa 19 Julai membolehkan kontrak fasa pertama dilaksanakan.

Katanya, Pengerusi BCS, Datuk Masiung Banah dimaklumkan berhubung perkara ini sekali gus mengarahkan kerja-kerja segera dijalankan selepas pengukuran sempadan selesai.

“Ini bagi mempercepatkan fasa pertama, semua kerja akan jalankan serentak termasuk pembersihan tapak kilang, lombong kuari, jalan raya, elektrik dan tali air.

“Kami baharu sahaja memperoleh kelulusan sijil Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dari Putrajaya pada Februari lalu membolehkan kilang menjalankan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Micheal berkata, pembinaan jalan raya, elektrik, air dan menara telekomunikasi perlu disiapkan terlebih dahulu bagi memudahkan perhubungan.

“Semua pelan kontrak yang dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dipantau rapi oleh EIA dan JAS Sabah.

“Rangkaian jalan raya akan dibina daripada Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kayawoi sejauh 26 kilometer,” jelas MIcheal.

Menurutnya, JAS meluluskan lesen kuari dan penyelidikan tanah sebagai pakej pelaburan kilang klinker dan simen yang menelan belanja RM1.2 juta itu.

“Bekalan tenaga elektrik 40MW akan disambung dari Nabawan sejauh 39 kilometer di bina serentak dengan talian internet sejauh 60 kilometer yang merintangi beberapa buah perkampungan.

“BCS juga akan membina empangan serta loji rawatan air sendiri daripada sungai berdekatan,” kata Micheal.

Beliau menambah, semua infrastruktur dan fasiliti di bina akan memberi kemudahan kepada  penduduk sekitar.

“Kontrak kerja fasa pertama ini akan mengambil masa kira-kira setahun sebelum operasi kilang diaktifkan.

“Operasi kilang hanya akan bermula seawal Januari 2026. Kilang simen itu akan dilengkapi dengan mesin automatik dan akan dikawal secara digital.

“Stone Roller Conveyor (Penghantar Rolling Batu) akan digunakan sepanjang 3.0 kilometer dari kuari klinker ke kilang pemprosesan simen,” tambah Micheal.