KINABATANGAN: Dua maut manakala tiga lagi parah selepaa kereta Perodua Alza dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh konkrit di Jalan Kampung Segaliud Seberang, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.02 pagi tadi.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, dua mangsa yang meninggal dunia berusia 14 dan 40 tahun manakala tiga yang parah berusia lingkungan 15 hingga 33 tahun.
“Susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, semua mangsa masih berada di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Jurucakap Bomba berkata dua mangsa perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala tiga mangsa lelaki mengalami kecederaan.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar Ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat pada 9.22 pagi,” katanya.