BEAUFORT: Kerajaan Sabah menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membawa bekalan ikan dari negeri itu ke Semenanjung Malaysia sebagai langkah menangani kenaikan harga ikan di pasaran.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata, perbezaan harga ikan yang ketara antara Sabah dan Semenanjung membuka peluang kepada nelayan Sabah untuk memasarkan hasil tangkapan ke pasaran yang menawarkan pulangan lebih baik.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini, yang mendapati harga ikan di Sabah jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung.
Menurut Ruslan, langkah membawa ikan dari Sabah ke Semenanjung dilihat sebagai mekanisme strategik bagi membantu nelayan berdepan peningkatan kos sara hidup, di samping menampung keperluan bekalan ikan negara serta mengurangkan tekanan harga kepada pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan kematian ikan di Sungai Tagal Kampung Bambangan, Tambunan yang dilaporkan baru-baru ini.
Katanya, masalah pencemaran sungai akibat pembukaan hutan dan ladang pertanian yang menggunakan racun rumpai bukan sahaja berlaku di Tambunan, malah turut dilaporkan di Beaufort dan beberapa daerah lain.
Ruslan berkata, isu itu akan dibawa ke peringkat kementerian sebelum dibincangkan di peringkat kabinet bagi mencari mekanisme untuk mengurangkan penggunaan racun, termasuk kemungkinan menghadkan jarak aktiviti pertanian daripada sungai dan kawasan tadahan air.
Beliau menambah, perkara itu membimbangkan memandangkan sungai merupakan sumber air harian dan kawasan pembiakan ikan serta hidupan akuatik bagi penduduk setempat.
