TAWAU: Program Turun Padang JOM@COOP – Latihan Pemacu Kecemerlangan Usahawan Koperasi dilihat mampu meningkatkan daya saing serta kemampanan perniagaan koperasi tempatan, khususnya di daerah ini.
Menteri Belia, Pembangunan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Institut Koperasi Malaysia itu menyediakan ruang latihan, pendedahan dan bimbingan kepada usahawan koperasi di peringkat akar umbi.
Menurutnya, penganjuran program tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa usahawan tempatan, sejajar usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan koperasi di seluruh negara.
“Program ini amat sesuai dilaksanakan di Tawau kerana mampu membantu usahawan koperasi meningkatkan keupayaan pengurusan serta daya saing perniagaan,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Hotel Emas, di sini.
Beliau turut berkesempatan melawat gerai jualan yang disediakan serta mencuba produk tempatan Tawau yang disifatkan berkualiti tinggi dan berpotensi besar untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas.
Datuk Nizam berharap inisiatif turun padang seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh ekosistem keusahawanan koperasi di daerah Tawau.
