TAWAU – Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan sebanyak RM67.76 juta bagi melaksanakan 18 projek prasarana awam di daerah ini menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata peruntukan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dipelihara.
Menurutnya, antara projek utama yang akan dilaksanakan ialah pembinaan tapak pelupusan sampah sanitari di Bukit Gemok dengan kos RM43 juta, menjadikannya antara projek pelupusan terbesar di Malaysia.
“Sebanyak RM67.76 juta diperuntukkan untuk 18 projek prasarana awam, antaranya tapak pelupusan pusat sanitari di Bukit Gemok yang menelan belanja RM43 juta.
Ini penting bagi memastikan Tawau sentiasa bersih, ceria, hijau dan membangun sebagai destinasi pelancongan utama di negeri di bawah bayu,” katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih Madani 3.0 di sini, hari ini.
Nga berkata, pelaksanaan projek-projek berkenaan juga merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat serta memacu pembangunan di kawasan luar bandar.
Beliau menambah, menerusi pendekatan Kerajaan Madani, KPKT terus menzahirkan komitmen dengan pelaksanaan ribuan projek infrastruktur di seluruh negara bagi memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
“Dalam tempoh 2023 hingga 2024, KPKT berjaya melaksanakan 11,807 projek prasarana awam termasuk taman rekreasi, tandas awam BMW, medan selera, pasar awam, parit, longkang dan jalan.
Ini adalah rekod tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.
Nga turut menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, setiap projek di bawah Sentuhan Kasih KPKT 3.0 akan berjalan lancar dan memberi impak positif kepada pembangunan Tawau secara menyeluruh.
