KOTA KINABALU: Sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) serta RM700,000 untuk Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bagi memperkasakan golongan wanita di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukkan ini bagi melaksanakan pela hai program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita.
Katany, peruntukan besar ini dijangka dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita membuktikan sekali gus menghargai peranan serta sumbangan wanita secara keseluruhannya.
“Bagi meningkatkan lagi pembangunan wanita di negeri ini, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan yang penting kepada golongan wanita dalam Belanjawan 2023 negeri yang akan dibentangkan nanti,” katanya di sini malam tadi.
Hajiji berkata, beliau bangga dengan beberapa aktiviti dan projek yang telah serta sedang dilaksanakan oleh JHEWA dan MPWS bagi membangunkan wanita di negeri ini.
“Program dan projek secara kerjasama yang dilaksanakan bersama agensi awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi banyak manfaat kepada rakyat di negeri ini, khususnya golongan wanita.
“Kemajuan wanita adalah kemajuan untuk semua. Memberi keutamaan untuk wanita bukan pilihan, sebaliknya ia adalah keperluan,” katanya.
Pembangunan wanita merupakan salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan negeri.
“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita, bukan saja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi malah merangkumi segala aspek pembangunan negara,” katanya.