KOTA KINABALU: Kelembaban kerajaan menjalankan proses agihan vaksinasi kepada rakyat mengundang padah sekali gus mewujudkan penularan gelombang keempat Covid-19 yang lebih serius berbanding sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata kerajaan persekutuan perlu mempercepatkan proses penyediaan vaksin serta imunasasi diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan dalam kadar segera.
Katanya, tadbir urus kerajaan persekutuan dianggap ‘lemah’ ke arah memintas penularan virus itu untuk terus merebak lebih jauh sedangkan bekalan vaksin sudah diagih di setiap negeri.
“Dalam tempoh dua bulan Program Imunasasi Covid-19 Kebangsaan berjalan negara hanya mampu merekodkan tiga peratus suntikan dari jumlah populasi penduduk di negara ini.
“Sabah yang sebelum ini mencatatkan bilangan individu paling rendah mendaftar sebagai penerima vaksinasi cuma merekodkan 28,445 menerima dos suntikan setakat semalam berbanding 1.9 juta individu yang disasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di hari ini.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) berkata, Jika keadaan ini berlanjutan ia sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat terutama peniaga kecil di beberapa negeri yang terbeban mencari sumber pendapatan harian akibat penularan kurang terkawal.
Menurutnya, meskipun tindakan menutup beberapa permis perniagaan makanan termasuk bazar ramadhan di Sabah dianggap tindakan wajar, tetapi golongan peniaga yang tertutup pintu rezeki dalam keadaan ekonomi meruncing sudah pasti tidak memihak kepada kerajaan.
Katanya, wujud penutupan beberapa sekolah ekoran masalah jangkitan, ia sudah tentu menimbulkan rasa tidak senang hati kalangan ibu bapa jika virus itu tidak terkawal sekiranya pelajar kembali kepada Pelajaran dan Pempelajaran di Rumah (DdPR).
“Masalah ini ditambah lagi dengan keadaan yang mana ramai warga tempatan kehilangan pekerjaan berikutan majikan mereka terpaksa golong tikar akibat penularan Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, peningkatan jumlah kumulatif dijangkiti Covid-19 setiap hari di antara negeri-negeri di Malaysia umpama persaingan sukan yang merebut tempat di takhta liga.
“Kelembaban Kerajaan Persekutuan perlu dipersoalkan agar proses penyediaan vaksinasi harus segera diserahkan kepada tanggungjawab Kerajaan Negeri agar pelaksanaan dapat disegerakan dalam tempoh terdekat,” katanya.
SabahNewsToday