Kerajaan perlu segera bantu pengendali syarikat pengurusan pentas: Sharom

KOTA KINABALU : Syarikat pengendali ‘Acara Pengurusan Pentas’ memohon pihak kerajaan memberi pertimbangan agar dapat membantu pengusaha yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

Pemilik Syarikat SR Events Production, Sharom Abd Ghaffar berkata, pihaknya terpaksa menanggung gaji semua pekerja selain membayar beberapa peralatan yang masih mempunyai komitmen pinjaman dengan bank sekali gus tidak menerima tempahan sejak berlakunya pandemik COVID-19.

Antara program SR Event

Katanya, lebih menyedihkan syarikatnya terpaksa membayar setiap bulan gaji kakitangannya bagi membolehkan pekerja mereka meneruskan kehidupan seharian.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pertama, kedua dan ketiga sektor pengendali Acara Pengurusan Pentas seolah-olah dilihat terlepas pandang oleh pihak kerajaan.

“Kami tidak pernah menerima sebarang bantuan atau geran sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan kepada pengiat industri lain termasuk dalam sektor pelancongan, pengangkutan pertanian dan lain-lain lagi,” katanya.

SR Production

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.

Sharom berkata, sudah tentu sekiranya pihak kerajaan gagal membantu pengusaha dalam sektor ini akan memberikan kesan sehingga boleh mengakibatkan mereka gulung tikar.

“100 peratus punca pendapatan syarikat kami adalah daripada sewaan acara yang dianjurkan oleh kerajaan atau swasta. Jika tiada undangan sudah tentu syarikat tidak mempunyai keupayaan membayar semua komitmen secara bulanan,” katanya.

Sharom memohon kerajaan negeri dan pusat agar dapat membantu pengusaha dalam sektor ini bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan ini di masa depan.

SabahNewsToday

Leave a Reply