TONGOD; Kerajaan negeri mewartakan 700 ekar untuk tapak kilang klinker dan simen bersapadu bernilai RM2 bilion di Kampung Kawayoi terletak 130 kilometer dari Pekan Tongod.
Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS) Datuk Masiung Banah berkata, daripada jumlah keluasan itu, 200 ekar akan digunakan untuk mendirikan kilang dan rumah pekerja.
Katanya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dijangka akan melakukan upacara perasmian pecah tanah pada April tahun ini.
“Apabila beroperasi kilang itu bakal menyediakan sebanyak 1,000 pekerjaan yang akan ditawarkan kepada warga tempatan.
“Selain itu, kilang berkenaan juga akan membina jalan raya berturap sejauh 26 kilometer daripada Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi menerusi Inarad, ” katanya pada majlis dialog bersama penduduk terlibat projek tersebut di Kampung Kawayoi, semalam.
Menurut Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, selain pembinaan jalan raya, lebih 5,000 penduduk kampung berdekatan turut menikmati pelbagai kemudahan asas.
Sementara itu, Pengurus Besar BCS, Micheal Kinsuan berkata, pihaknya juga akan membina loji air terawat, stesen janakuasa elektrik 40 Megawatt dan menara telekomanikasi.
Jelasnya, BCS juga akan mendirikan klinik termasuk menaiktaraf masjid dan gereja sedia ada di kawasan terbabit untuk kemudahan penduduk tempatan.
Katanya, semua infrastruktur dan kemudahan asas yang disediakan itu akan di nikmati lebih 6,000 penduduk di Kampung Kawayoi, Inarad, Susui, Langga dan Tudingan.
Micheal berkata, pembinaan jalan raya dan kemudahan asas itu menelan belanja sebanyak RM350 juta.
Katanya, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) juga turut merancang mewujudkan Kompleks Pekan Baharu di Kampung Kawayoi yang dilengkapi dengan kemudahan Balai Polis dan Balai Bomba dan Penyelamat.
“Apabila beroperasi, kilang klinker dan simen itu mampu mengeluarkan sebanyak 5,000 tan sehari atau 1.5 juta tan setahun bagi menampung keperluan simen di Sabah,” katanya.
Beliau memberi jaminan, harga simen akan lebih murah dipasaran tempatan sebaik sahaja kilang itu beroperasi sepenuhnya.
Menurut Micheal, selain untuk pasaran tempatan pengeluaran simen akan dieksport ke negara jiran di Asia.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) Haidar Razif Hisyam Ajaz Nabizam, Pegawai Daerah Tongod Nelson Domal Ulok dan Timbalan Pengurus Besar SEDCO Azrul Ahmad.