Kerajaan Negeri timbang naikkan elaun kakitangan UPPM – Hajiji

KOTA KINABALU: Elaun kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) akan dipertimbang untuk dinaikkan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kakitangan UPPM di seluruh negeri supaya bekerja keras untuk membantu merealisasikan agenda pembangunan kerajaan.

“Kita akan melihat perkara itu,” katanya dalam ucaptama pada Hari Keluarga UPPM yang dihadiri 73 Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dari seluruh negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini.

Hajiji berkata demikian sebagai maklum balas terhadap permintaan Pengarah UPPM Datuk Awang Kadin Tang berhubung kenaikan elaun kakitangan unit berkenaan.

Terdahulu, Hajiji berkata semua PPM perlu menunjukkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau menggesa PPM supaya kreatif dan inovatif dalam memperbaiki proses kerja bagi menjamin keberkesanan sistem penyampaian UPPM.

“Pada masa sama, PPM mesti sentiasa berpegang kepada prinsip integriti dan ketelusan selain mengutamakan kepentingan organisasi.

“Saya berharap masalah dan keperluan rakyat di kawasan PPM masing-masing dapat diselesaikan. Pelantikan PPM bukan satu kelebihan, sebaliknya satu peranan penting dan tanggungjawab besar,” katanya.

Hajiji berkata, PPM juga perlu bekerja rapat dengan wakil rakyat kawasan masing-masing dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada akar umbi tanpa mengira ideologi politik.

Jelasnya, ia bagi memastikan setiap anggota masyarakat mendapat perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan kerajaan tanpa ada mana-mana pihak dipinggirkan.

Tambahnya, sebagai penghubung di antara kerajaan dan akar umbi, UPPM dan PPM khususnya mesti proaktif menyebarkan maklumat dan menyelesaikan masalah yang secara tidak langsung dapat menaikkan kualiti perkhhidmatan dan imej mereka di mata rakyat.