KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan keyakinan BERSATU untuk menawan semula Sabah pada pilihan raya akan datang hanya cita-cita besar parti itu.
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu menegaskan parti baharu pimpinannya tidak tergugat dengan dakwaan BERSATU Sabah itu.
“Itu cita-cita besar mereka, jadi kita tunggu sajalah. Kita tidak tergugat kerana kalau melihat keahlian Gagasan Rakyat setakat ini, sambutan cukup hebat.
“Bayangkan ketika ini sudah dapat beberapa ratus ribu ahli hanya selepas beberapa bulan ditubuhkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, di sini.
Sebelum ini, Setiausaha BERSATU Sabah, Abdul Kadir Damsal, meluahkan keyakinannya mengenai kemampuan parti itu merampas semula Sabah.
Beliau dilaporkan berkata, BERSATU Sabah berjaya bangkit dan menghidupkan semula 24 bahagian parti itu di Sabah selepas ditinggalkan bekas pemimpinnya pada akhir tahun lalu.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Gagasan Rakyat kini dianggotai kira-kira 300,000 ahli di 73 bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN).
Parti tunjang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu katanya turut melebarkan sayap ke Labuan dan sudah membentuk jawatankuasa partinya di sana.
Sementara itu, Gagasan Rakyat dijadual mengadakan mesyuarat bahagian yang pertama di 73 bahagian bermula 23 September ini hingga 15 Oktober depan, manakala perhimpunan agung pertama pada 13 dan 14 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
- ends