Kerajaan Negeri tekankan dasar keadilan bantu masyarakat tanpa kira bangsa dan agama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa menekankan dasar keadilan dan prihatin dalam semua aspek bagi membantu masyarakat di Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan menjurus kepada amalan itu termasuk melalui pengagihan geran kepada institusi agama dan sekolah.

Katanya, pada tahun ini saja kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM54.05 juta kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah.

“Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan peka terhadap keperluan masyarakat dan komited membantu tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Pusat ke-24 dan Bahagian Wanita Keenam Gabungan Persatuan-Persatuan Hokkien Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Phoong Jin Zhe.

Dalam pada itu, Hajiji mahu masyarakat Tionghua di negeri ini, termasuk suku Hokkien terus bersama-sama kerajaan memajukan negeri ini menerusi kepakaran mereka dalam urusan perniagaan.

Katanya suku Hokkien adalah kumpulan masyarakat Cina kedua terbesar di negeri ini selain Hakka, malah yang terbesar di negara ini.

Ketua Menteri berkata, usaha akan dipertingkatkan untuk menarik pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Di sinilah peranan masyarakat Tionghua termasuk Hokkien Clan untuk turut sama mengambil peluang dalam sektor pembangunan di negeri ini,” katanya.

Hajiji juga berharap masyarakat Hokkien di Sabah dibawah pimpinan Tan Sri TC Goh turut bersama memberikan sumbangan dalam pembangunan ekonomi Sabah.

“Kita berusaha keras untuk memajukan Sabah dari segi pembangunan dan berkongsi kekayaan kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama,” kata Hajij.