Kerajaan GRS-BN perlu jelaskan status kawasan kayu balak 200,000 hektar milik SFI – Abd Aziz

SIPITANG: Kerajaan negeri perlu memberi penjelasan secara terperinci berkaitan isu kawasan kayu balak seluas 200,000 hektar milik Sabah Forest Industries (SFI) samada diambil semula kerajaan atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Abd Aziz Taip, berkata, beliau ingin mendapatkan penjelasan adakah benar kawasan kayu balak berkenaan sudah dianugerahkan konsesi pembalakannya kepada beberapa syarikat tertentu.

Katanya, jika terbukti benar adakah syarikat tersebut merupakan syarikat milik anak tempatan Sabah atau sebaliknya serta tempoh konsesi yang diberikan kepada syarikat terbabit.

“Kami perlu penjelasan secara terperinci berkaitan status tanah seluas 200,000 hektar milik SFI ini. Ketika ini pekerja SFI didalam dilemma berkaitan isu gaji pekerja tertunggak yang masih belum dijelaskan sehingga kini.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah bersama Barisan Nasional (GRS-BN) hendaklah menjelaskan berkenaan kaedah serta bagaimana pekerja SFI yang terjejas dijamin untuk diambil bekerja semula dibawah skim yang diperkenalkan itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abd Aziz yang juga Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, kerajaan GRS-BN perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu gaji tertunggak tersebut memandangkan mereka adalah rakyat tempatan negeri ini.

“Kita mahu kerajaan GRS-BN tampil dengan lebih telus sekali gus menerangkan kepada semua pekerja SFI yang terjejas….ini termasuk cara atau bagaimanakah perancangan mereka terhadap nasib pekerja ini.

“Sesi libat urus (engagement) antara kerajaan GRS-BN dengan pihak pekerja SFI hendaklah diadakan segera khususnya berkaitan  perancangan kerajaan terhadap tanah SFI yang diambil alih serta jaminan pekerjaan kepada pekerja yang terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Warisan Bahagian Sipitang ingin mendapatkan jaminan kerajaan GRS-BN berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bahawa pekerja SFI boleh terus tinggal di perumahan SFI sehingga akhirnya dijamin pekerjaan.

“Ini kerana dianggarkan lebih 1,200 pekerja SFI terlibat merupakan anak tempatan Sabah. Masalah ini perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan negeri sekali gus memastikan kepentingan serta kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya.                     

Abd Aziz berkata, ketika kerajaan negeri di bawah Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, gaji pekerja SFI terus dibayar manakala pelan pemulihan SFI telah diusahakan tanpa mengorbankan tanah milik SFI.

“Bagaimanapun, usaha dan tindakan tersebut tidak diteruskan oleh kerajaan negeri dibawah GRS-BN. Malah gaji tertunggak menyebabkan pekerja kehilangan sumber pendapatan mereka,” katanya.