Lelaki jual rokok seludup pasaran tempatan di tahan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki berumur 56 tahun dipercayai memiliki serta menjual secara runcit rokok seludup pelbagai jenama di sekitar daerah ini di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menemukan sebanyak 1,380 batang rokok pelbagai jenama dipercayai tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM500.

“Semua rokok seludup tersebut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Barang rampasan termasuk bot dan enjin yang dianggarkan bernilai RM17,000 itu dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Polis menahan 14 warga asing selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah menerusi operasi bersepadu mencegah jenayah (OBMJ).

Operasi yang membabitkan enam pegawai dan 68 pegawai rendah daripada pelbagai cawangan itu turut disertai seramai 13 anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) Lahad Datu.  

“Operasi itu dijalankan di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti di daerah ini. Hasil operasi itu, polis berjaya menahan seramai 14 pendatang tanpa izin (PTI) kerana didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua PTI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.