Kerajaan digesa naiktaraf 25 jambatan di Sabah yang tidak patuhi piawaian dengan segera

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menggesa kerajaan untuk menaiktaraf 25 buah jambatan di Sabah yang tidak mematuhi piawaian dengan kadar segera.

Menurut beliau, jambatan itu perlu dinaiktaraf bagi meningkatkan kapasiti berat dengan muatan (BDM) pengangkutan jalan raya di Sabah sehingga ia setaraf dengan Semenanjung sekaligus meningkatkan sistem pengangkutan dan ekonomi negeri.

Jelasnya, kapasiti yang seragam itu adalah penting bagi menjimatkan kos pengangkutan.

“Jika kapasiti pengangkutan masih lebih rendah berbanding Semenanjung ini bermaksud peniaga perlu berulang-alik dan melibatkan banyak kos yang seterusnya memberi kesan kepada pengguna dengan meningkatkan kos sara hidup penduduk.

“Justeru, meningkatkan kapasiti pengangkutan di Sabah merupakan satu keperluan yang sangat penting untuk mencapai matlamat kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup penduduk,” katanya.

Beliau mengemukakan perkara itu kepada Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Vivian juga meminta kementerian itu untuk menyatakan kesemua lokasi 25 jambatan terlibat serta jangkaan bagi penyeragaman kapasiti pengangkutan jalan raya di antara Semenanjung dan Sabah selain perkembangan menaiktaraf yang berkaitan.

Selain itu, beliau juga menyuarakan keraguan mengenai pengawalan had muatan kontena yang membenarkan beberapa kenderaan mengangkut muatan melebihi had maksimum 38 tan di jalan raya Sabah, manakala terdapat kenderaan lain terpaksa mematuhi had yang ditetapkan.

Vivian memaklumkan Alexander Nanta menyatakan pada masa ini enam daripada 25 jambatan tersebut telah siap dinaiktaraf, lima jambatan sedang dalam proses pembinaan, sebuah jambatan dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian, dua jambatan telah mendapat kelulusan dinaiktaraf dan dijangka bermula pada tahun 2024.

Sebuah jambatan telah dimasukkan dalam Rancangan Jalan Pan-Borneo, manakala baki lima daripada 10 jambatan lain akan diberi keutamaan naiktaraf selanjutnya disebabkan oleh kekangan kewangan.

Menteri juga menyatakan bahawa had muatan tersebut dikenakan atas pertimbangan keselamatan kerana masih terdapat 18 jambatan lain yang kapasiti pengangkutannya tidak mematuhi piawaian dan kementerian akan terus memantau perkara itu.

Manakala kawalan muatan kontena pula tertakluk dan dikawal selia oleh Kementerian Pengangkutan.

Ketika ini, KKR juga tidak mempunyai maklumat dan rekod yang berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Vivian menerusi Belanjawan 2024 berharap KKR akan dapat memaksimumkan penggunaan dana yang diperuntukkan bagi menaiktaraf jalan persekutuan di Sabah selain keperluan pengguna jalan raya di negeri ini.