Kerajaan bersedia menerima cadangan NGO di negeri ini – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersedia menerima sentiasa  cadangan serta pandangan Badan Bukan Kerajaan (NGO)dikenalpasti bakal memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan bersedia menerima bentuk cadangan bagi kebaikan serta keperluan rakyat di Sabah.

“Kita sentiasa bersikap terbuka dari segi pentadbiran negeri, paling penting kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita yang diamanahkan rakyat.

“NGO juga bebas mengemukakan pendapat mereka berhubung perkara yang membawa manfaat kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama Lembaga Pemegang Amanah Sabah Action Body Advocating Right (SABAR) bersama Pengerusinya, Datuk Dr Johan Ariffin Abdul Samad di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji mengucapkan terima kasih kepada SABAR membantu kerajaan negeri dalam pelbagai bentuk termasuk persekitaran, pelancongan, kesihatan serta isu berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha mencapai kemajuan dalam perbincangan berkaitan dengan MA63.

“Antaranya berkaitan Pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan 2021, hak minyak serta gas termasuk kuasa mengenai pengeluaran lesen perikanan dan banyak lagi. Dalam  konteks MA63, kerajaan negeri melakukan pencapaian yang baik,” katanya.