‘Keputusan kes Ahmad Zahid, Bung Moktar bukan sebab UMNO’ – Tok Mat

MUAR: Keputusan mahkamah terhadap kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan terbaru kes membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bukan dilakukan atas sebab UMNO berada dalam kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata semua keputusan itu diputuskan sendiri oleh pihak mahkamah.

“Perkara terbabit tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan mana-mana parti politik, itu terpulang kepada mahkamah.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada Datuk Seri Najib Razak dan dia dipenjara, kita tidak ada apa-apa dengan mahkamah, sebab kita tak boleh mengarahkan mahkamah. 

Dalam kes Ahmad Zahid pula, hakim akan menjatuhkan hukum tanpa keraguan sedikit pun, tapi jika ada keraguan pastinya Pejabat Peguam Negara akan berasa tidak selesa dan dia akan tarik balik, itu sebab dilepas tanpa dibebas,” katanya dalam laporan BH Online.

Mohamad berkata, kedua-dua kes berkenaan tidak wajar digunakan sebagai bahan kempen pilihan raya kerana ia adalah dua perkara berbeza.

“Kes mahkamah dengan undi lain ceritanya, pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa seseorang jika kes itu tidak 80 peratus kukuh, hakim boleh buat keputusan tanpa keraguan, kalau ada keraguan pihak Peguam Negara akan menarik balik kes terbabit,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.