750 pengusaha restoran makanan India Muslim di Sabah tidak naikkan harga makanan 

KOTA KINABALU: Pengusaha 750 restoran makanan India Muslim Sabah di negeri ini tidak akan menaikkan harga makanan di premis mereka.

Pengerusi Dewan Perniagaan Muslim Sabah,  Abdul Baree Habbib berkata setakat ini harga nasi kosong kekal pada harga RM2 sekali gus tidak berlaku apa-apa kenaikkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pengusaha premis makanan hanya menggunakan beras tempatan, manakala barang keperluan lain setakat ini tidak mengalami kenaikan.

“Kami sangat memahami beban pelanggan dan justeru itu kami tidak akan menaikkan harga makanan di 750 premis restoran india muslim di seluruh Sabah.

“Beras merupakan makanan asas utama rakyat di Sabah, kami tidak akan mengambil kesempatan terhadap isu beras dengan membebankan pengunjung di restoran,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Beliau diminta mengulas Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata sejak kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran domestik berikutan penyusutan jumlah penghasilan padi negara, ahlinya beralih membeli beras import sebagai alternatif.

Walaupun menggunakan beras import, katanya, harga makanan berasaskan nasi di premis makanan ahlinya tidak dinaikkan setakat ini.

Abdul Baree berkata, dalam tempoh terdekat, mereka akan mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa lain bagi memastikan 750 pengusaha restoran India Muslim di negeri ini tidak akan menaikkan harga makanan mereka.