Polis rampas syabu bernilai RM120,000 daripada lelaki cuba lari dari sekatan jalan

TAWAU: Polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Tawau menahan seorang lelaki selepas gagal dalam cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di kawasan Jalan Timur dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 30 tahun yang memandu kenderaan jenis Proton itu bertindak membuat pusingan U memecut kenderaannya dan polis mengejarnya sebelum berjaya diberkas.

“Ketika pihak Polis menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Jalan Timur, tiba-tiba sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki cuba untuk melarikan diri daripada SJR dengan membuat pusingan U.

“Anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) bertindak mengejar kenderaan terbabit sehingga berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan di tempat kejadian pihak Polis telah menjumpai sebuah bungkusan plastik di dalamnya mengandungi empat bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.

Menurutnya pemeriksaan lanjut pihak Polis di dalam kereta tersebut telah menjumpai dia bungkusan plastik hijau di dalamnya berisi bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas seberat 2,162.40 gram dengan anggaran bernilai RM120,000 boleh menampung seramai lebih kurang 3,000 orang penagih.

Jasmin berkata suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan semakan rekod jenayah, suspek warga tempatan pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.