LAWAS: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di sini malam Khamis sekali gus menandakan permulaan penjelajahan bagi peringkat Sarawak.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada kira-kira 8 malam disambut oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pasangan diraja itu diiringi Menteri Pengiring, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menerima sambutan sangat meriah oleh kira-kira 10,000 rakyat di Lawas yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan merakamkan gambar kenangan bersama baginda berdua.
Dalam titah ringkas Al-Sultan Abdullah, baginda menzahirkan rasa terharu dengan sambutan hangat rakyat di bandar paling utara di Bumi Kenyalang itu.
Beliau turut mempersembah projek pembangunan yang giat dilaksana di daerah agak terpencil itu berbanding bahagian lain di Sarawak dengan kedudukannya yang diapit Brunei Darussalam di selatan, wilayah Kalimantan di timur dan Sabah di utara.