Kembara Kenali Borneo: 100 asnaf dan OKU terima sumbangan Yang di-Pertuan Agong di Sindumin

SIPITANG: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf dan orang kelainan upaya (OKU) pada Majlis Santapan Bersama Rakyat sempena Program Kembara Kenali Borneo di perkarangan Masjid Sahabat Sindumin-Merapok, hari ini.

Hadir sama, Yang Di-pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Panglima Juliah Salag.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir.Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong.

Sindumin adalah lokasi terakhir program Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong di Sabah selepas lima hari menjelajah negeri ini bermula di Tawau pada Ahad lalu.

Selepas ini, baginda berdua dan rombongan meneruskan Kembara Kenali Borneo di Sarawak bermula di Lawas, sebelum ke Brunei Darussalam dan kemudian ke Miri hingga tamat di Telok Melano pada 13 September ini.