SANDAKAN: Selepas Singapura, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menyasar untuk menarik syarikat penerbangan dari Filipina untuk mengadakan penerbangan ke Sandakan.
Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata kementerian kini sedang berbincang dengan AirAsia Filipina untuk mengendalikan penerbangan terus dari Davao, Cebu atau Zamboanga ke daerah timur Negeri Di Bawah Bayu itu.
“Pembesaran landasan Lapangan Terbang Sandakan kini memenuhi keperluan untuk pendaratan pesawat besar serta sistem radar baharu yang sedia ada.
Kementerian saya akan terus bekerja keras untuk memastikan Lapangan Terbang Sandakan akan dihubungkan dengan bandar-bandar lain di rantau ini selaras dengan hala tuju kerajaan negeri dalam memastikan lapangan terbang Sandakan dan Tawau dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan papan maklumat Jejak Warisan Sandakan di sini hari ini.
Jafry berkata minggu lepas, beliau bertemu dengan seorang menteri kanan Singapura untuk membincangkan mengenai potensi untuk menarik syarikat penerbangan dari republik itu ke Sandakan dan Tawau, selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
“Singapura mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang sentiasa dihubungkan dengan banyak negara dan jika mereka (syarikat penerbangan dari Singapura) bersedia untuk menyediakan penerbangan ke Sandakan dan Tawau, ini akan menjadi peluang baik untuk kedua-dua daerah untuk mengembangkan sektor pelancongan mereka,” tambahnya.
Penerbangan pertama AirAsia pertama ke Kota Kinabalu dari Singapura pada 16 April lepas menandakan penerbangan antarabangsa pertama ke Sabah selepas dua tahun.
Tiga penerbangan mingguan kini ditawarkan antara Kota Kinabalu dan Singapura.
Penerbangan antarabangsa kedua ditawarkan oleh Scoot, syarikat penerbangan tambang murah Singapura pada 29 April dengan satu penerbangan setiap hari manakala syarikat penerbangan lain yang terbang ke Sabah ialah Royal Brunei dan Firefly.
Sementara itu, Jafry berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi membincangkan perkara berkaitan keselamatan pelancong yang berhasrat melawat pantai timur Sabah.
Pada papan maklumat itu menunjukkan peta 10 tapak bersejarah ikonik di pusat bandar Sandakan yang telah dipelihara sebagai warisan daerah.
Jejak bermula di Masjid Jamek Sandakan, masjid tertua di Sandakan yang ditubuhkan pada 1890, sebelum berpindah ke tapak bersejarah yang ditinggalkan semasa pendudukan Jepun dan pemerintahan penjajah British selain sebuah gereja dan kuil Cina.
— BERNAMA