KINABATANGAN : Dua beradik maut selepas kenderaan mereka naiki terbabas sendiri dalam kejadian di Batu 32, Bukit Garam, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, kedua-dua mereka disahkan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang semalam.
“Pihak Bomba bersama tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjakankan operasi menyelamat.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) terbabas sendiri dan terbalik di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Azlan Shah berkata, pihaknya mengesahkan terdapat enam mangsa terbabit dalam kemalangan dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Empat lagi cedera iaitu dua kanak-kanak berusia enam dan 10 tahun serta dua lagi wanita dan lelaki berusia 53 tahun.
“Semua mangsa yang cedera di hantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelas Nurul Azlan Shah.
Menurutnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.