KINABATANGAN : Seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kejadian kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 117, Jalan Paris 1 Jalan Sandakan – Lahad Datu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt Dzulbaharin Haji Ismail berkata kejadian kemalangan itu dilaporkan berlaku lebih kurang pukul 11.05 pagi, Sabtu.
Katanya, kanak-kanak perempuan berumur empat tahun itu disahkan maut ketika sampai di Unit Kecemasan Hospital Lahad Datu.
“Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku di jalan berselekoh yang mempunyai garisan putih berkembar di tengah-tengah jalan. Kenderaan pertama dan kedua ketika itu dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu telah memperlahankan kenderaan dan berhenti kerana terdapat kemalangan di hadapan disyaki akibat mengelak jalan yang berlubang dan tidak rata.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba kenderaan ketiga iaitu sebuah bas ekspres dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan kedua dan terus menggelongsor melanggar bahagian belakang kenderaan pertama,” katanya.
Menurut beliau, pemandu bas bersama seorang konduktor serta 29 orang penumpang bas ekspres tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Selain itu, katanya, pemandu kenderaan pertama juga tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala pemandu kenderaan kedua hanya mengalami cedera ringan.
Dzulbaharin berkata mangsa kanak-kanak perempuan yang maut merupakan penumpang kenderaan kedua.
Katanya polis telah menahan pemandu bas akibat cuai memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian dan permohonan reman akan dilaksanakan.
Beliau berkata Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dzulbaharin meminta orang ramai mahupun pengguna jalan raya yang menyaksikan atau mengetahui berkaitan kemalangan itu boleh tampil ke Cawangan Trafik IPD Kinabatangan bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hamkhah Md Syukur di talian 014-9551030 atau pusat kawalan Bilik Gerakan IPD Kinabatangan ditalian 089-561890.