Keluarga Malaysia Tawan Puncak Everest April 2022

KOTA KINABALU: Pasukan Pendakian Keluarga Malaysia Everest 2022 akan menawan puncak Gunung Everest pada April 2022.

Ketua pasukan, Azim Afif berkata misi yang melibatkan 11 pendaki yang antaranya wakil kaum utama di negara ini turut melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mulai 8 April depan.

“Pasukan kita dijangka akan berlepas ke Nepal pada 8 April 2022.

“Misi perpaduan ini akan disertai oleh oleh wakil kaum Melayu, Cina, India, kaum Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya (OKU) serta wakil dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Ini merupakan pertama kali kita gabungkan wakil pelbagai kaum dan OKU yang akan menyertai misi menawan puncak Everest.

“Persiapan pasukan ini kini berada di fasa akhir, selepas menamatkan latihan di lima hari empat malam di Gurkha Hut Gunung Kinabalu.

“Seramai 11 orang pendaki dijangka akan menawan puncak Gunung Everest dalam misi kali ini.

“Mesej yang ingin kita sampaikan adalah semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Malaysia boleh digarap melalui sukan dan kehidupan,” ujar beliau ketika ditemui media selepas membuat kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan hormat pihak pengurusan REPSOL Malaysia yang diketuai Pengurus Kanan Perhubungan Pemegang Taruh, Ahmad Fakhrurrazi Arshad.

Pada kunjungan berkenaan, REPSOL menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dan disampaikan kepada Pengerusinya, Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar.

– PENERANGAN