KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) perlu menghentikan kegiatan ‘Menawarkan imbuhan’ kepada wakil rakyat sebaliknya fokus kepada meningkatkan prasarana pembangunan rakyat selepas diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu.
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong, berkata kegiatan ini seolah-olah membelakangkan proses demokrasi sekali gus menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini.
Katanya, tindakan memberi tekanan kepada wakil rakyat terutama pembangkang dengan menawarkan imbuhan bagi terus mengkekalkan kuasa adalah perkara sangat menjijikkan.
“Kegiatan ini seolah-olah trend untuk mengekalkan kuasa….sasaran mereka adalah kepada wakil rakyat yang mengalami masalah kewangan sehingga lupa kepada tanggungjawab utama ketika mandat diberikan rakyat dalam PRN16 lalu.
“Kegiatan ini umpama ‘Harga Ayam Naik, Tapi Harga diri Wakil Turun’….mereka langsung tidak menghormati mandat rakyat melalui sistem pilihan raya di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, berkata GRS-BN sepatutnya perlu lebih peka kepada keadaan infrastruktur terutama jalan raya yang sering menjadi runggutan kalangan rakyat di negeri ini.
“Selain itu, keadaan isu inflasi negara semakin meningkat dengan ketiadaan peluang pekerjaan diwujudkan kerajaan ketika negara masih berhadapan dengan penularan COVID-19.
“Sepatutnya masalah ini perlu diberikan perhatian segera bukan menawarkan imbuhan untuk membeli wakil rakyat….kerana proses PRN16 sudah berlalu. Jika perkara ini berlaku apa akan terjadi kepada rakyat?,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan ADUN Kukusan Rina Jainal, Jaujan berkata, Parti WARISAN akan mengambil tindakan Mahkamah sama seperti beberapa bekas wakil rakyatnya menyertai parti pemerintah baru-baru ini.
“Kesemua sebelum dilantik sudah terikat dengan peraturan parti ketika melafazkan sumpah taat setia sebelum dipililh mewakili WARISAN bertanding pada PRN16.
“Dalam watikah pelantikkan tersebut semua mereka bersetuju untuk menghormati serta akur untuk meletakkan jawatan sekiranya beralih sokongan sekali gus melompat parti selepas PRN lalu,” katanya.
Jaujan menambah, jika betul mereka ingin berjuang demi rakyat jadilah YB Bebas tanpa menyertai mana-mana pemerintah dengan bergerak secara bersendirian.