KOTA KINABALU : Karnival bola sepak ibu bapa pelatih TABS yang berlangsung di padang TABS Sukma di sini pagi tadi diadakan dengan meriah sejajar bagi mewujudkan hubungan siratulrahim dan persefahaman dalam kalangan mereka.
Perlawanan itu membabitkan tiga pasukan ibu-ibu dan tiga lagi melibatkan bapa-bapa pelatih dijalankan secara liga.
Juara bagi kategori ibu-ibu pelatih dimenangi pasukan Pink Panther FC, naib juara dimenangi Barbie Doll FC manakala Chojojar Ikan Tausi FC menduduki tempat ketiga.
Pasukan Patak-Patak FC menjuarai kategori bapa-bapa pelatih, Bungkar FC memenangi naib juara dan tempat ketiga pasukan Rukut-Rukut FC.
Pengerusi penganjur, jurulatih Bagyo Sarman memberitahu, sambutan ibu bapa terhadap karnival itu sangat memberangsangkan dan ia membolehkan pengendalian program mendapat sambutan dalam kalangan warga TABS.
Katanya, program itu mampu mewujudkan hubungan siratulrahim serta memupuk semangat harmoni kepada ibu bapa pelatih yang sentiasa memberi sokongan terhadap program pembangunan bola sepak yang dikendalikan TABS.
“Selain memberi bimbingan asas bola sepak terhadap anak-anak mereka, aktiviti santai sedemikian dapat mengisi kelapangan ibu bapa pada hujung minggu,” ujarnya.
Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye berkata, pihak pengurusan TABS akan sentiasa memberi sokongan terhadap seberang aktiviti bermanfaat yang dirancang pihak kejurulatihan.
“Kita sememangnya mengalu-alukan perancangan program seumpama ini dan kita mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan ibu bapa yang memberi kerjasama baik dan membantu untuk menjayakannya,” kata beliau.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan pertandingan sepakan penalti membabitkan pelatih-pelatih bawah umur 10 tahun dan lapan tahun.
Pemain Aqil Mujib memenangi sepakan penalti bagi kategori B10 manakala Faez Yaqzan memenangi kategori B8.
Para pemenang karnival menerima hadiah berupa medal dan hamper serta pemenang sepakan penalti menerima hadiah wang tunai.