Jangkar Gagasan Rakyat harus dipertahankan, jangan diperlekehkan – Masiung

TONGOD: Jangkar parti perlu  diperkukuhkan supaya kapal perjuangan yang dilabuhkan tidak hanyut dibadai ribut dan taufan kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.

Beliau mahu pemimpin akar umbi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hala tuju parti menerusi konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).

”Jangkar Gagasan Rakyat harus dipertahankan, jangan diperlekehkan … kerana setiap langkah yang kita tunjangi akan diukur oleh segenap lapisan rakyat.

”Tidak kira pemimpin Pemuda, Wanita atau Beliawanis, mereka perlu menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat bawahan sambil memperbetulkan isu negetif yang ditaburkan oleh pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat berkelompok Gagasan Rakyat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Entilibon, di sini kelmarin.

Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kuamut berkata, parti pembangkang di Sabah pernah berada di puncak kuasa tidak akan pernah berpuas hati untuk menabur pelbagai dakyah negatif.

“Kita mahukan pemimpin peringkat bahagian supaya tidak berdiam diri sebaliknya menangkis tomahan dan fitnah jahat pemimpin pembangkang.

“Pemimpin pebangkang yang kemaruk mahu berkuasa sanggup melakukan apa sahaja termasuk memfitnah parti dan kerajaan pada hari ini melalui platform media sosial,” jelas Masiung.

Menurutnya, pembangkang sanggup mengupah penulis untuk menyebar dakyah buruk terhadap kita melalui laman sosial.

“Di sinilah peranan pemimpin bahagian untuk menjelaskan kepada rakyat dan membetulkan tomahan yang dilemparkan kepada parti dan kerajaan negeri,” kata Masiung.