KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan cabarannya terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya melakukan sumpah laknat atas dakwaannya sebelum ini.
Beliau berkata, Muhyiddin tidak perlu takut untuk bersumpah laknat berhubung dakwaan beliau (Ahmad Zahid) membawa lambakan fail meminta supaya kes mahkamah dihadapinya digugurkan.
“Jadi apabila saya menyeru kepada bersumpah laknat kerana itu cara yang segera untuk mempertahankan diri. Mempertahankan diri daripada pembohongan konon membawa lambakan fail untuk meminta kes digugurkan.
“Sesungguhnya bukanlah diri ini taksub kepada sumpah laknat, namun tuduhan itu keterlaluan dan memaksa saya melakukannya. Dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kian hampir dan Pengerusi BN ditohmah sebegitu rupa apakah banyak pilihan yang saya ada?
“Kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulamak sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat,” katanya laporan Berita Harian dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Ahmad Zahid berkata, mereka yang sepatutnya dianggap memalukan adalah yang sanggup membuat tuduhan fitnah yang bersifat zalim demi kepentingan politik.
Hari ini katanya, pihak yang menuduh enggan menyahut seruan bersumpah laknat sebagai membuktikan keyakinan apa yang dikata.
“Saya berharap hentikanlah politik hasutan dan kebencian seperti itu yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid juga sekali lagi menegaskan tidak pernah bertemu bekas Perdana Menteri itu untuk meminta dibebaskan seperti yang didakwa Muhyiddin.
“Kedua, sejak awal saya yakin tidak bersalah terhadap pendakwaan dikenakan oleh Pakatan Harapan (PH) sejurus mereka menguasai kerajaan.
“Saya menghadapi pendakwaan dengan cekal dan tabah kerana percaya kebatilan tidak sesekali mampu mengatasi kebenaran.
“Saya yakin barisan guaman saya akan memenangi kes, namun dengan syarat tiada tangan-tangan ghaib cuba menidakkan keadilan buat saya,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak memberi kesan kepada mahkamah, sebaliknya memberi kesan kepada mereka yang pernah menipu rakyat.
“Memberi kesan kepada mereka yang mengkhianati perjuangan BN kerana takut didakwa atau terpesona dengan tawaran.
“Walau apa tohmahan mereka lemparkan, Pengerusi BN tidak akan sesekali melutut di hadapan mereka,” katanya.