Kadar zakat fitrah di Sabah RM7 – Mufti

Bungsu Aziz Jaafar.

KOTA KINABALU (Bernama): Kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini ditetapkan RM7 atas setiap orang yang bermastautin di negeri ini, kata Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Beliau menerusi kenyataan di sini hari ini menjelaskan kadar itu ditetapkan bersamaan nilai segantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti rakyat Sabah.

Pada tahun lepas, zakat fitrah di Sabah ditetapkan pada RM7.50 dan RM6 mengikut kemampuan pembayar serta ketua keluarga.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi kenyataan berbeza hari ini memberitahu sebanyak RM11 juta zakat fitrah dijangka dapat dikutip oleh agensi itu tahun ini.

“MUIS telah melantik 39 Penyelaras Wakil Amil dan seramai 2,000 Wakil Amil untuk menyelaras dan memungut zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

“Semua mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah,” menurut kenyataan itu.

MUIS memberitahu mereka yang dilantik terdiri daripada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, penjawat awam, imam kariah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.

Kenyataan itu juga menjelaskan pada Ramadan tahun ini, MUIS telah memperuntukkan sebanyak RM10.4 juta untuk diagihkan dan daripada jumlah itu, RM9 juta akan diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Sebanyak RM1.4 juta pula akan diagihkan kepada 2,000 Amil Fitrah sebagai upah amil kerana bertugas memungut dan mengagih-agihkan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini, jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu MUIS juga mengutip lebih RM10.83 juta zakat fitrah dan lebih RM90.33 juta zakat harta tahun lepas.

Lebih RM17.86 juta dana zakat diagihkan antara Januari hingga Mac tahun ini menyaksikan asnaf fakir merupakan penerima terbanyak iaitu RM7.72 juta, fisabilillah (RM5.26 juta), amil (RM2.02 juta), riqab (RM1.79 juta), miskin (RM502,927.30), muallaf (RM438,091.72), gharimin (RM114,000) dan ibnu sabil (RM150).

SabahNewsToday

Leave a Reply