KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan dari 1 hingga 2 Disember itu melibatkan 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu. Seramai 67 individu diperiksa dan 17 didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan, melibatkan warga Filipina dan Indonesia.
Kesemua tahanan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
JIM Sabah menegaskan tiada kompromi terhadap PATI dan mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji mereka. Agensi itu juga menyeru masyarakat menyalurkan maklumat berhubung kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka.
“Kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” kata JIM Sabah dalam Kenyatan hari ini.
