SANDAKAN : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah telah mengusir pulang seramai 800 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina ke negara asal melalui jalan air, hari ini.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua mereka dihantar pulang menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 2 bagi Januari 2024 dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Katanya, ia melibatkan seramai 628 orang tahanan lelaki, 104 tahanan perempuan, 39 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan 29 orang kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu, bapa dan penjaga masing-masing melalui laut menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonio 1.
“Tahanan PATI yang terlibat kali ini adalah tahanan warganegara Filipina iaitu 206 orang dari Depot Imigresen Sandakan dan 594 orang dari Depot Imigresen Kota Kinabalu,” katanya.
Untuk rekod, seramai 1,525 orang tahanan telah dipindahkan pada tahun 2024 ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara.
Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Beliau berkata JIM Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.