KOTA KINABALU: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Jauteh menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, laporan Berita Harian hari ini.
Pada majlis sama, turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Ketua JSJ Sabah baharu antara Datuk Jauteh dengan Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
Jauteh ketika ditemui berkata, dengan kepercayaan dan tanggungjawab serta peluang ini, beliau akan gunakan dengan sebaik-baiknya untuk berkhidmat demi kecemerlangan PDRM khususnya IPK Sabah.
Sementara itu, Idris berkata, beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan, kepercayaan dan amanah yang diberikan pucuk pimpinan.
“Saya berharap semua terus menyumbang khidmat bakti dengan ikhlas demi mencapai misi dan visi organisasi ini lebih cemerlang di masa hadapan,” katanya.