Jasa, pengorbanan setiap anggota keselamatan perlu sentiasa dihargai –  Nizam

TAWAU : Jasa serta pengorbanan pasukan keselamatan perlu dihargai sekali gus bagi memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman luar.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semasa umat Islam bergembira merayakan Aidiladha anggota agensi penguatkuasaan tetap cekal bertugas dalam memastikan tahap keselamatan negara sentiasa terjamin.

Katanya, ini memastikan penugasan mereka di kawasan perairan sempadan negara berjalan seperti biasa dalam masa sama mereka tidak dapat meraikan perayaan ini bersama keluarga mereka.

“Sebagai rakyat, sudah tentu kita perlu menghargai pengorbanan lakukan mereka untuk memastikan orang awam dapat hidup dengan aman tanpa ancaman luar di seluruh negara ini.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya akan terus memberikan sokongan serta dokongan kepada semua agensi penguatkuasa yang bertugas memastikan keamaan di daerah ini sentiasa terpelihara,” katanya di sini hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, DUN Apas menyumbang 18 ekor lembu korban.

“Selain kawasan daerah mengundi DUN Apas, lembu korban itu turut diagihkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan di daerah ini. Kita mengagihkan lembu ini kepada KD Sri Tawau, Polis Diraja Malaysia, Kem Tentera Kabota, Kem Tentera Kukusan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, ESSCOM dan PVATM,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama Nizam berkata, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia cawangan Tawau (PVATM) dilihat begitu aktif melaksanakan aktiviti memberikan manfaat kepada ahlinya.

“Kita sangat menghargai usaha-usaha yang dilakukan PVATM Tawau demi memastikan kebajikan setiap ahlinya sentiasa terbela,” jelas Nizam.