JANS diminta buat notis makluman awal catuan bekalan air agar penduduk kawasan terlibat buat persediaan awal – Jeffery Nor

PUTATAN : Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta membuat notis makluman awal sekiranya melakukan catuan air bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat membuat persediaan.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata beliau menerima banyak laporan daripada penduduk Putatan yang terputus bekalan air paip sejak lima hari lepas.

“Mereka (JANS) perlu ada saluran komunikasi yang baik dalam memaklumkan pengguna jika ingin melakukan catuan bekalan air.

“Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat melakukan persediaan awal menyimpan air,” katanya ketika ditemui selepas Majlis High Tea UMNO Putatan Bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di sini, semalam.

Menurut Jeffery Nor yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, tiada notis awal catuan bekalan air ini menjejaskan urusan harian penduduk di kawasan terlibat kerana mereka tidak membuat persediaan untuk menyimpan air.