BSJN Daerah Sandakan rampas 64.48 gram dadah, tahan 27 individu dalam Op Tapis Khas

SANDAKAN : Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Sandakan telah menjalankan Operasi Tapis Khas Siri 1/2024 selama tiga hari bermula pada 29 hingga 31 Januari yang lalu.

Menurut BSJN Daerah Sandakan menerusi satu kenyataan, operasi khas itu dijalankan adalah bertujuan untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar dan mengesan serta menangkap orang dikehendaki atas kesalahan dadah.

Hasil daripada operasi itu, pasukan BSJN Daerah Sandakan telah berjaya menangkap seramai 27 orang yang terdiri daripada 24 lelaki dan tiga perempuan dengan keseluruhan rampasan dadah sebanyak 64.48 gram.

Kesemua tangkapan itu akan didakwa atas pelbagai kesalahan yang diperuntukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, BSJN Daerah Sandakan menyeru kepada masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah yang berlaku khususnya di daerah ini.