KOTA KINABALU : Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan agar tidak mempolitikkan Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas, esok.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, peringatan ini ditujukan kepada semua pihak sama ada backbenchers ataupun pembangkang.
Katanya, peringatan ini agar mereka tidak membangkitkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan intipati ucapan tersebut.
“Untuk sidang pada kali ini lebih-lebih lagi kita baru di pertengahan Syawal, kita harap tenang dalam perbahasan dan bangkitkan benda-benda yang bernas dan hanya isu yang disentuh oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun.
“Dari segi teknikal, seseorang ADUN hanya boleh membahaskan apa yang dibangkitkan oleh TYT Tun dalam ucapan dasar dan isu-isu yang dibangkitkan, di luar daripada itu untuk apa dibangkit kalau tidak disentuh oleh beliau,” katanya di sini hari ini.
Kadzim berkata, beliau mengharapkan semua ADUN tidak perlu bangkitkan perkara di luar sekali gus jangan gunakan ucapan dasar TYT untuk platform politik persediaan pilihan raya.
“Kita menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan sidang pada kali ini akan berlangsung panas serta ia adalah sidang yang terakhir.
“Sama ada yang terakhir atau tidak, saya pun tidak tahu bila sidang terakhir sebab saya jangka masa Bajet tu yang terakhir rupanya ada perasmian DUN lagi,” jelasnya.
Menurutnya, persidangan kali ini bukanlah panas namun ia merupakan semangat serta tidak ada perkara melebihi batas.
“Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Sabah Yang Keenam Belas akan berlangsung selama empat hari minggu depan bermula dengan perbahasan.
“Ia diikuti dengan penggulungan ke atas ucapan dasar Musa sebelum pembentangan empat Rang Undang-Undang (RUU),” jelas Kadzim.
Menurutnya, tiga daripada RUU terbabit merupakan pindaan berkaitan undang-undang tanah, hutan dan perumahan manakala, RUU baharu mengenai baja pula akan dibentang pada hari terakhir sidang DUN.