KOTA KINABALU : Golongan muda, diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat disebarkan oleh pempengaruh atau influencer digelar sebagai ‘Profesor Dua Minit’ di pelbagai platform media sosial.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, trend semasa ini menunjukkan semakin ramai pengguna media sosial yang cenderung mempercayai kandungan video pendek tanpa menyemak kesahihan fakta.
Katanya, keadaan ini membuka ruang kepada penularan maklumat yang tidak tepat, terutamanya berkaitan politik, agama dan kesihatan.
“Sekarang ini ia sudah menjadi satu trend. Tapi apa yang penting, pempengaruh seperti ini tidak berada di lapangan.
“Keadaan ini berbeza dengan ahli politik seperti kami yang turun padang, mendengar, melihat dan mengambil tindakan,” katanya di sini semalam.
Mohamed Razali turut berkata, budaya membuat kenyataan semata-mata untuk meraih populariti atau pengikut di media sosial perlu dihentikan.
Katanya, setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap maklumat yang disebarkan.
“Ini bukan soal populariti, sebaliknya yang lebih penting adalah ketepatan fakta. Apa yang benar kita maklumkan, yang tidak betul jangan digembar-gemburkan.
“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah,” jelasnya.
Menurutnya, beliau memberi amaran bahawa ramai yang mungkin disaman sekiranya tindakan itu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Jangan hanya kerana dua minit, kita terpengaruh dan diracuni dengan fakta yang tidak sahih,” katanya.