James Wong dilantik GGM SEDCO berdasarkan merit, prinsip Sabah First – Aksyah

KOTA KINABALU: Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) melantik Datuk James Wong sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) yang baharu, menggantikan Haizar Razif Hisyam tamat tempoh kontraknya.

Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) / Perikatan Nasional (PN) Sabah, Aksyah Nasrah berkata, SEDCO, yang ditubuhkan pada tahun 1971 melalui Enakmen Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri No. 30 (1971).

Katanya, ia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah, termasuk memperkasakan golongan Bumiputra selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Pelantikan James menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Ada yang menyambut baik keputusan ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan SEDCO, namun ada juga pihak yang mempertikaikan perlantikan seorang bukan Bumiputra ke jawatan tertinggi dalam organisasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aksyah berkata, sebilangan kecil pihak mendakwa bahawa pelantikan ini membelakangkan kepentingan Bumiputra Sabah.

“Saya meneliti serba sedikit latar belakang James, dan saya yakin pelantikan beliau adalah berdasarkan merit, kebolehan serta pengalaman dalam memimpin dan mengurus organisasi dengan cemerlang.

“Persoalannya, adakah beliau dilantik tanpa kelayakan atau merit? Adakah beliau kurang ‘Sabahan’?

“Adakah beliau tidak pernah menyumbang kepada perkembangan perniagaan Bumiputra di Sabah? Jawapannya adalah tidak!,” jelas Aksyah.

Menurutnya, pelantikan ini berasaskan merit dan bukannya kepentingan politik.

“Antara misi utama (KPI) yang digariskan kepada beliau adalah untuk terus membangunkan masyarakat perniagaan Bumiputra Sabah.

“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menimbulkan persepsi negatif,” kata Aksyah.

Menurutnya, James merupakan anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, dan berasal daripada keluarga yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Bapanya, Datuk Francis Wong, merupakan seorang arkitek ternama yang banyak berjasa dalam pembangunan Kota Kinabalu.

“Kakaknya, Penny Wong, kini menjawat jawatan Menteri Luar Australia, individu pertama berketurunan Asia yang memegang jawatan tersebut,” jelasnya.

Beliau sendiri adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma seni bina terkemuka di Sabah dengan 50 staf pengurusan dan 200 kakitangan lapangan.

Dalam bidang profesional, James juga telah menerima pelbagai anugerah dalam seni bina dan perniagaan di peringkat nasional.

Beliau turut aktif dalam pertubuhan perniagaan dan keusahawanan di Sabah, termasuk:

  • Pengerusi Cawangan Sabah, Malaysia Chinese Chamber Of Commerce – Young Entrepreneurs Committee (MCCC-YEC).
  • Presiden Sabahan Architect-Entrepreneurs.
  • Presiden (Pengasas) Sabah Young Business & Industry Leaders (SYBIL).
  • Pencipta jenama tempatan seperti UINAH Sabah, MissReno, dan banyak lagi.

“Jika seseorang itu memiliki kepakaran, pengalaman serta semangat Sabahan yang tinggi, maka tiada alasan untuk mempertikaikan pelantikan beliau.

“Ini bukan soal bangsa, tetapi soal keupayaan untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih maju,” tambah Aksyah.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar barisan pengurusan SEDCO tidak termakan dengan permainan emosi pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu ini.

“Tiada sebarang peruntukan dalam penubuhan SEDCO yang menyatakan bahawa jawatan GGM eksklusif untuk Bumiputra.

“Sebaliknya, kita harus melihat kehadiran James sebagai peluang untuk mempelajari pengalaman dan kepakaran beliau dalam mengurus organisasi dan membangunkan ekonomi negeri.” katanya.

Menurutnya lagi, kejayaan beliau nanti boleh dijadikan penanda aras kepada semua GLC milik Kerajaan Negeri Sabah untuk memastikan Sabah terus berkembang maju dan sejahtera.

“Jika beliau berjaya, maka cara kerja, sikap dan ilmu yang beliau miliki perlu dijadikan contoh kepada kepimpinan GLC lain.

“Fokus utama kita adalah memastikan Hala Tuju SMJ yang digariskan oleh YAB Ketua Menteri dapat direalisasikan,” tambahnya.

Secara keseluruhannya, pelantikan James sebagai GGM pertama bukan dari kalangan Bumiputra adalah keputusan yang tepat dan berasaskan merit.

“Saya yakin beliau mampu memacu ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi dengan membawa prinsip Sabah First.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha untuk membangunkan negeri ini tanpa mengira latar belakang kaum atau politik,” kata Aksyah.