Jalan Keningau-Tenom ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh

TENOM : Laluan di KM151.950/142.250 Jalan Keningau-Tenom ditutup sepenuhnya mulai pagi ini berikutan kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenom dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan ini dilakukan atas faktor keselamatan, sementara kerja-kerja pemantauan serta penyediaan laluan lencongan di bahu jalan sedang giat dijalankan.

Namun, pihak JKR memaklumkan bahawa jika keadaan cuaca masih tidak mengizinkan dan runtuhan terus berlaku, tempoh penutupan jalan mungkin akan dilanjutkan sehingga laluan disahkan selamat untuk digunakan.

“Sebagai langkah penyelesaian, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Tenom–Sipitang (Melalui Sipitang) untuk ke destinasi masing-masing.

“Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihak JKR Tenom turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak dalam menghadapi situasi ini.