Isu bekalan air serta jalan raya diatasi secara berperingkat: Ellron

Ellron bersama Bung dalam kunjungan hormat semalam.

KOTA KINABALU: Masalah infrastruktur membabitkan bekalan air bersih serta kemudahan jalan raya di daerah Sook akan ditangani secara berperingkat-peringkat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, masalah ini dialami sejak sekian lama mendapat perhatian serius daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah 1 yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, masyarakat Sook sangat menantikan kemudahan asas tersebut selain memastikan masalah ini dapat diatasi dalam tempoh terdekat.

“Kunjungan ini memperlihatkan langkah positif daripada Menteri Kerja Raya yang mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu ini secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan mereka.

“Sudah tiba masanya masyarakat Sook mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan bagi memastikan masalah kemudahan asas mereka menjadi agenda utama untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah 1 yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Ibu Pejabat JKR, Sembulan di sini semalam.

Ellron berkata, dalam kunjungan itu beliau juga membangkitkan masalah bekalan elektrik yang seringkali mengalami gangguan khususnya di sekitar daerah Sook.

“Masalah bekalan elektrik ini selalu terputus hampir setiap minggu…Ini sudah tentu menjadi isu utama dalam kalangan penduduk Sook. Peluang bertemu dengan Menteri yang bertanggungjawab, diharapkan masalah ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan sama Ellron memuji sikap Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sentiasa memberikan keutamaan dalam setiap masalah yang diajukan sekaligus mencari jalan terbaik untuk mengatasinya dalam tempoh terdekat.

SabahNewsToday

Leave a Reply