IPD Sandakan tahan Pengedar, penagih syabu dalam Ops Tapis

SANDAKAN : Seorang wanita bersama seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran serta penagihan dadah dalam ‘Ops Tapis’ dijalankan di sekitar Pusat Bandar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, operasi bermula jam 12.01 tengah malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan seorang wanita di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katany, hasil soal siasat ke atas wanita berkenaan kemudiannya membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Suspek lelaki ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan.

“Keputusan awal ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

George berkata, kedua-dua suspek kini ditahan di Lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi ini membuktikan komitmen polis Sandakan untuk terus membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.