Imigresen Sabah tahan 86 PATI dalam operasi bersepadu

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau dari 4 hingga 6 Februari lalu.

Pengarah JIM Sabah berkata, seramai 56 PATI ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu, manakala 27 PATI lagi ditahan menerusi operasi berasingan oleh Bahagian Penguatkuasa Lahad Datu.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi, seramai 333 individu diperiksa membabitkan warganegara Malaysia, Filipina dan Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati 83 warga Filipina terdiri daripada 21 lelaki dewasa, 41 wanita dewasa serta 21 kanak-kanak ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit sah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Unit Penguatkuasa JIM Tawau turut melaksanakan Ops Serkap (ATIPSOM) pada 6 Februari lalu dan menahan tiga PATI warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dewasa untuk siasatan lanjut.

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus bagi membanteras kehadiran PATI demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.