Apabila pemimpin sedia ada diberi ruang untuk berkuasa terlalu lama maka tentunya peluang untuk pemimpin muda naik ke atas akan lebih tertutup begitu juga dengan peluang untuk ahli biasa membuat perubahan dalam parti akan tersekat.
UMNO juga berkemungkinan berhadapan dengan persepsi negatif bahawa ia adalah usaha terakhir pihak tertentu yang takut kalah jika pemilihan diadakan dalam tempoh sebenar untuk menyelamatkan kedudukan mereka.
“Semua perkara ini perlu difikirkan semasak-masaknya dan dijelaskan dengan terang oleh kepimpinan kepada ahli dan rakyat bagi mengelakkan imej UMNO terjejas”, katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.
Dalam pada itu, pemerhati politik dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Shekh Alsagoff, pula melihat daripada sudut implikasi pindaan perlembagaan ini kepada UMNO jika ia tidak diluluskan.
“Seingat saya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Jasri Kasim, pernah dilaporkan berkata pada 10 Ogos 2021 bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ yang hanya boleh melaksanakan tugas urusan hal ehwal pentadbiran sahaja.
“Pasti akan ada pertanyaan apakah memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu PRU dilangsungkan boleh dilakukan melalui inisiatif MKT UMNO yang hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ sahaja,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, ROS akan terpaksa membuat pertimbangan yang adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan sama ada meminda salah satu perkara asas dalam perlembagaan boleh dilakukan tatkala MKT UMNO menjadi ‘caretaker’.
“Begitu juga dengan takrif ‘selepas masa enam bulan sesuatu PRU dilangsungkan’ yang tidak spesifik dan begitu subjektif yang boleh dipersoalkan apakah ia bertepatan dengan peruntukan lain dalam akta mahupun Perlembagaan negara.
“Jika ROS meluluskan pindaan ke atas perlembagaan UMNO ini maka pastilah berduyun-duyun parti lain akan membuat pindaan sama ke atas perlembagaan parti mereka dan mahu tidak mahu ROS akan terpaksa meluluskannya juga atas prinsip keadilan dan kesaksamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan, bagaimana pula jika ROS tidak meluluskan pindaan ke atas perlembagaan UMNO itu, adakah UMNO bersedia menghadapi implikasinya.
“Tidakkah dengan itu imej UMNO akan tercalar dan tidakkah akan ada kemelut dalaman pula nanti dalam parti,” katanya.