IC Sabah adalah jalan penyelesaian – SAPP

KOTA KINABALU : Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa agar Kerajaan Sabah mempercepatkan pelaksanaan pengeluaran Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) kepada warganegara Malaysia berstatus Sabah sebagai penyelesaian tuntas kepada isu berpanjangan berkaitan dokumen kewarganegaraan yang meragukan.

Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, langkah tersebut akan membezakan secara jelas antara rakyat tulen Sabah dengan individu bukan asal Sabah yang telah diberikan kewarganegaraan Malaysia, termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita tidak perlu bazirkan masa untuk perbahasan berulang mengenai isu ini.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah telah pun mengemukakan penemuan dan syor-syornya sejak Disember 2014, disokong dengan fakta, dokumen serta keterangan saksi,” katanya di sini semalam.

Yong berkata, terdapat kes di mana individu yang lahir di luar negara diberikan MyKad dengan kod -12-, menunjukkan kelahiran di Sabah.

“Kemudiannya memegang jawatan penting dalam sebuah parti politik dari Semenanjung serta dilantik ke Lembaga Pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.

“Kes-kes melibatkan pengeluaran dokumen palsu turut dibuktikan dengan penahanan anggota sindiket dan sabitan kesalahan terhadap pegawai kerajaan sekitar tahun 1995 hingga 1997.

“Sandiwara sebegini mesti dihentikan. Tiada peruntukan dalam undang-undang persekutuan yang melarang pengeluaran IC Sabah.

“IC ini hanya untuk warganegara Malaysia berstatus Sabah dan tidak memberikan kewarganegaraan kepada warga asing,” jelasnya.

Yong menegaskan, pengeluaran IC Sabah juga mampu mengelakkan kekeliruan berkaitan status penduduk, di samping membolehkan pentadbiran negeri menumpukan perhatian kepada isu-isu penting rakyat seperti pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

“Warganegara Malaysia dari Semenanjung dan Sarawak yang telah lama menetap di Sabah juga boleh dipertimbangkan untuk menerima IC Sabah, tertakluk kepada budi bicara Kerajaan Sabah. Tapi mereka tetap tidak boleh diberikan digit -12- sewenangnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemberian status Anak Negeri Sabah secara tidak sah kepada warga asing melalui MyKad adalah tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan mesti dihentikan segera.

“Apa lagi yang kita tunggu? Black Sunday lagi?” soal Yong merujuk kepada siri protes terdahulu yang dianjurkan Pemuda SAPP bagi membantah isu,” katanya.