Ibadah korban pengajaran untuk peduli kepada golongan kurang berkemampuan – Hajiji

TUARAN : Hari Raya Aidiladha memberi keinsafan kepada umat Islam bukan sahaja mencari keredahan Allah SWT, tetapi semangat serta ibadah korban menjadi pengajaran untuk peduli kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, umat Islam akan mengadakan ibadah korban masing-masing, terutama mereka yang mempunyai niat untuk bersedekah korban.

“Tetapi yang penting ialah semangat dan niat kepedulian kita kepada masyarakat yang kurang berkemampuan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tuaran di sini hari ini.

Hajiji kemudiannya bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt. Noraidin Awang Maidin.

Dalam perkembangan sama, Hajiji merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut menyertai jemaah mengalunkan takbir bersama-sama Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Datuk Norjeli Dais.

Turut hadir Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali.