LABUAN: Hutan Paya Bakau Kina Benua Wilayah Persekutuan Labuan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).
Menteri Sumber Asli dan Kelestrian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan berkata, ia adalah hasil usaha berterusan pihak Perbadanan Labuan dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya bakau Kina Benuwa sentiasa diberi keutamaan sehingga hutan seluas lebih 60 hektar ini berjaya diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.

“Kita berterima kasih kepada Perbadanan Labuan kerana usaha yang berterusan sehingga Hutan Paya Bakau di Kina Benuwa ini di wartakan sebagai Hutan Simpan Kekal….dan ia satu-satunya Hutan Simpan Kekal yang terdapat di Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjuan Hutan Simpan Kekal Kina Benuwa, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestrian Alam Dr Ching Thoo a/l Kim.
Nik Nazmi berkata, selain diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, kawasan Kina Benuwa akan menjadi pusat tumpuan ekopelancongan yang sekaligus merangsang ekonomi tempatan.
Pada masa yang sama, katanya, pelbagai program komunikasi dan pendidikan serta program kesederan awam akan dilaksanakan melibatkan kerjsama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, serta komuniti setempat.
“Ia bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan memelihara keunikan alam semula jadi hutan paya Bakau yang terdapat di Hutan Simpan Kekal Kina Benuwa.
“Kepelbagaian sumber warisan dan keunikan alam semula jadi yang bernilai tinggi, termasuk hutan paya bakau, hutan pantai dan sanutari hidupan liar dan pelbagai spesies burung merupakan aset penting sekaligus menjadikan Kina Benua sebagai lokasi ekopelancongan yang mampu menjana ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya
Nik Nazmi berkata, rancangan sedang dibuat untuk menubuhkan sebuah pejabat di pulau ini bagi mentadbir dan mempromosikan hutan simpan kekal berkenaan.
“Langkah itu dilihat sebagai kaedah strategik untuk menguruskan tapak ekopelancongan baharu dengan cekap,“ katanya sambil menambah keluasan hutan simpan kekal di Wilayah Persekutuan kini meningkat kepada 152.901 hektar, berbanding 84.62 hektar sebelum ini.
