Harga tiket penerbangan KK-Tawau membebankan pengguna di Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan perlu menyemak semula harga tiket penerbangan laluan Kota Kinabalu – Tawau yang kini mencecah sehingga RM500 perjalanan sahala sekali gus dilihat membebankan orang ramai di negeri ini.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, harga ini terlalu membebankan pengguna berikutan harganya terlalu mahal terutama di musim cuti sekolah atau menjelang musim hari perayaan.

Katanya, dalam tempoh terdekat pengguna muslim akan menyambut bulan Ramadhan serta Hari Raya Aidilfitri sudah tentu aktiviti penerbangan merupakan pilihan utama pelajar dan orang ramai yang ingin balik ke negeri ini.

“Kita belum lagi menyemak harga penerbangan melibatkan laluan Kota Kinabalu – Kuala Lumpur kemungkinan besar harga mungkin lebih tinggi sehingga menimbulkan kerumitan dalam kalangan pengguna di negeri ini.

“Kita pohon agar kerajaan menyemak semula harga ini, jangan ambil kesempatan dalam musim cuti sekolah serta perayaan kerana sistem penerbangan merupakan pilihan utama bagi masyarakat di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

David berkata, persatuan pengguna bijak sangat kecewa mengapa setiap kali musim perayaan datang tiket penerbangan mahal sehinggakan penerbangan dalaman antara Kota Kinabalu ke Tawau sehala pun menelan belanja hampir RM500.

“Kita semua tahu semasa Hari Raya orang ramai bersedia untuk balik ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga manakala pelajar belajar di semenanjung juga kecewa kerana tiket terlalu mahal sangat membebankan rata-rata mereka tidak mampu.

“Saya berharap syarikat penerbangan dapat mempertimbangkan untuk menyediakan harga tiket penerbangan yang lebih murah untuk pelajar serta orang ramai dapat membeli pada kadar yang mampu milik,” jelas David.